Syawal hadir selepas Ramadhan,
Sucikan jiwa dengan bermaafan,
Berkasih sayang buah kemaafan,
Istiqomah dalam kebaikan.
Umat islam yang keluar daripada bulan Ramadhan dengan mendapat keampunan daripada Allah SWT, mereka itulah insan yang benar-benar gembira meraikan bulan Syawal.
Iaitu bulan kembalinya seorang hamba yang bertaqwa kepada fitrah. Di bulan ini, umat islam merayai satu daripada dua hari raya iaitu Hari Raya Aidilfitri. Pada 1 syawal, umat islam diharamkan berpuasa sebagai tanda syukur dan gembira.
Sejurus sahaja selepas solat maghrib, kita akan mendengar gema takbir hari raya di kediaman umat Islam, masjid-masjid atau di mana sahaja. Bukan sahaja di negara kita Malaysia, tetapi di seluruh dunia.
Tahukah anda?
Takbir raya bukanlah suatu adat tetapi ia adalah ibadah zikir, takbir, tahmid dan tasbih memuji keagungan, kekuasaan dan membesarkan Allah SWT dalam diri seorang hamba. Firman Allah SWT:
”Dan agar kamu membesarkan Allah SWT atas petunjuk yang Ia berikan kepada kamu, dan agar kamu bersyukur atas nikmat-nikmat yang telah diberikan” (Surah Al-Baqarah: 185).
Adakah hukum melaungkan takbir raya adalah wajib?
Takbir pada hari raya adalah sunat. Ianya bermula dari terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan menandakan bermulanya satu Syawal sehinggalah imam mengangkat takbiratul ihram untuk menunaikan solat Aidilfitri.
Bolehkah jika melaungkan takbir raya pada selain dari hari raya?
Takbir raya hanya disyariatkan pada hari raya dan hari tasyriq sahaja akan tetapi tidak menjadi masalah apabila ia dilakukan secara bersendirian pada waktu-waktu yang lain.
Seperti yang telah dikongsikan di awal tadi, takbir adalah amalan zikir dan boleh dilakukan pada bila-bila masa. Selain itu, ia adalah ucapan yang disukai oleh Allah SWT. Sabda Nabi SAW:
أَحَبُّ الْكَلَامِ إِلَى اللهِ أَرْبَعٌ: سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ. لَا يَضُرُّكَ بِأَيِّهِنَّ بَدَأْتَ
Maksudnya: Empat ucapan yang sangat disukai oleh Allah SWT: Tasbih (Subhanallah), Tahmid (Alhamdulillah), Tahlil (Lailahaillallah) dah Takbir (Allahu Akbar). Tidak menjadi sebarang masalah untuk kamu mulakan yang mana satu.
Semenjak dunia dilanda wabak Covid-19, rata-rata umat manusia mempunyai kesedaran dan waspada terhadap penularan wabak tersebut. Manusia menjadi peka terhadap kebersihan & menjaga pergaulan sesama manusia. Ia suatu yang sangat baik dan secara tidak langsung umat islam menjaga pergaulan (ikhtilat). Akan tetapi, nilai ibadah adalah berdasarkan niat.
Daripada Amirul Mukminin Abi Hafs, Umar bin al-Khattab RA katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى الله وَرَسُوْلِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ اِمْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya”.
Hadith ini memberi dua pengajaran dalam kehidupan:
1) Niat yang tulus kerana Allah SWT bukan kerana kepentingan dunia.
Antara tujuan niat adalah untuk membezakan antara adat dengan ibadah.
Ia juga membezakan seorang yang berilmu dengan yang tidak berilmu. Jika seseorang muslim tu melakukan ibadah, maka akan diganjari Allah SWT dengan pahala.
2) Keperluan seorang muslim itu untuk sentiasa berhijrah atau membuat perubahan pada diri. Daripada yang kurang baik kepada yang baik dan daripada sedia baik kepada yang lebih baik. Itulah perjalanan seorang hamba di dunia ini dalam perjalanan menuju tuhannya.
Menjadi satu kerugian sekiranya seorang muslim melakukan suatu kebaikan namun ia lakukan kerana adat bukan kerana Allah SWT. Justeru itu, umat islam harus sentiasa menambah ilmu pengetahuan dan memperbaharui niat. Setiap tingkah laku demi mendamba redha dan kasih sayang Allah SWT.

Jaga kebersihan kerana takut virus
Jaga kebersihan kerana Allah
Tidak bersalaman atau bersentuhan dengan bukan mahram sebab jaga SOP
Jaga pergaulan dan ikhtilat kerana Allah
Tidak pergi ke tempat/majlis hiburan kerana takut di kompaun (bayar denda)
Tidak pergi ke tempat yang didalamnya maksiat kerana Allah
In Sha Allah, sama-sama kita biasakan yang betul dan betulkan yang biasa. Ingat, setiap perkara baik yang kita lakukan kerana Allah S.W.T adalah ibadah tetapi jika kerana trend atau ikut-ikut sahaja, ia mungkin hanya akan mendapat perhatian manusia sahaja.
Begitu juga dengan membaca Al-Quran, sejak dari kecil ibubapa menghantar anak-anak belajar Al-Quran. Kebiasaan itu kadang-kadang menyebabkan seseorang memandang perkara itu sebagai adat melayu. Sedangkan belajar Al-Quran adalah sesuatu yang penting kerana Al-Quran merupakan petunjuk bagi umat Islam dan penawar bagi hati.
Apabila terlalu terbiasa, ia mengundang sambil lewa dan tidak menitik beratkan ilmu Al-Quran. Proses belajar Al-Quran adalah sepanjang hayat, belajarlah, bacalah, fahamilah dan aplikasikan dalam kehidupan. Buat yang nak belajar Al-Quran secara bertalaqqi dengan ustaz atau ustazah, tekan SAYA NAK BELAJAR.
#easyngaji
#kehidupanberilmu
#santaitapisampai