Macam mana nak solat dalam kapal terbang?

“Dan dirikanlah kamu akan solat serta berilah zakat dan taatlah kamu kepada Rasul Allah; supaya kamu beroleh rahmat.”
(An-Nuur 24:56)

Solat dalam kapal terbang ada dicatatkan dalam hadis yang diterima daripada Ibnu Umar. Katanya, Rasulullah SAW ditanya tentang solat di atas kapal, maka jawab baginda ;

“Solatlah disana dengan berdiri kecuali apabila engkau takut tenggelam.”
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Juga hadis yang diterima daripada Abdullah Bin Abi ‘Utbah ;

“Saya menyertai Jabir bin Abdullah, Abu Said Al-Khudri dan Abu Hurairah dalam sebuah kapal. Mereka bersolat secara berjemaah padahal mereka sedang menghampiri pantai.” (Riwayat Said Bin Mansur)

Situasi solat dalam kapal terbang sama ada penerbangan dalam negeri atau luar negeri adalah sama dari sudut perlaksanaan rukun, pengambilan wuduk, penentuan arah kiblat dan tayamum, hanya berbeza sedikit dari sudut penentuan waktu solat.
Solat dalam kapal terbang ini biasanya merujuk keadaan semasa bermusafir, maka ia boleh dilakukan secara jamak dan qasar.

Solat di kawasan yang disediakan

BAGAIMANA MENENTUKAN ARAH KIBLAT?

Memandangkan arah kiblat sukar ditentuka apabila pesawat/kenderaan sedang bergerak, penumbang hendaklah menentukan arah kiblat dan yakin dengan arah tersebut. Seseorang itu hendaklah sekurang-kurangnya menghadap kearah kiblat ketika takbiratul ihram.

Sekiranya usaha telah dilakukan dan masih tidak menemui arah kiblat sama ada ketika berada di dalam kenderaan seperti kapal terbang atau kereta api, maka dalam situasi ini perlu dianggarkan arah kiblat yang tepat.

Perkara ini merujuk kepada maksud hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi di dalam kitab beliau, Sunan Al-Kubra dan Imam Ash-Syaukani di dalam kitab Nail Al-Authar.

Daripada Jabir Bin Abdullah RA yang membawa maksud ;

“Kami pernah solat pada satu malam yang mendung dan tidak mengetahui arah kiblat. Apabila kami solat kami perhatikan bahawa kami (sebenarnya) solat bukan menghadap ke arah kiblat. Lalu kami sampaikan hal ini kepada Rasulullah lalu Baginda bersabda, ‘Kamu telah melakukan yang terbaik’. Seterusnya Jabir berkata, ‘Dan Baginda tidak menyuruh kami mengulanginya’.”
(Riwayat Imam Al-Baihaqi)

Solat di tempat duduk sendiri

ADAKAH KAEDAH TERTENTU UNTUK SOLAT DALAM KAPAL TERBANG?

  1. Berusaha selagi mampu untuk mencari tempat bersolat dengan sempurna.
  2. Bertanya kepada anak kapal ruang solat yang disediakan.
  3. Solat di tempat duduk sendiri (Sekiranya tiada tempat khusus). Pastikan sujud ditunduk lebih rendah daripada rukuk.
  4. Jika terdapat dua pilihan iaitu solat secara sempurna tetapi tidak dapat menghadap kiblat serta  solat menghadap kiblat tetapi dengan kaedah duduk. Maka hendaklah seseorang itu solat menghadap kiblat meskipun solat secara duduk.
  5. Sekiranya pesawat bergoyang, dibolehkan berpegang atau bersandar sebentar bagi mengimbangi diri.
  6. Sekiranya sedang berdiri dan pesawat bergoyang dipertengahannya, maka teruslah solat dalam keadaan duduk sehingga habis tanpa perlu dimulakan semula.
  7. Jika goyangan pesawat adalah keterlaluan sehingga  keluar tanda “Pasang tali pinggang keselamatan” atau “Fasten seat belt”, maka sebaiknya duduk dahulu dan bersolatlah kemudian apabila suasana kembali tenang.
Ruang solat di dalam kapal terbang

Memaksa diri beribadah sehingga mendatangkan kecederaan bukanlah sesuatu yang dicenderungi agama. Malah akan dipertanggungjawabkan jikalau kecederaannya itu menyebabkan dia tidak dapat meneruskan ibadah yang lain, meninggalkan amanah tanggungan dan menyusahkan pula orang lain. Islam itu mudah, maka jangan pula dipersulitkan.

SUMBER :
1. Buku – Praktik solat waktu kritikal karya Dr. Haji Ahmad Nasir Mohd Yusoff.
2. Website https://akuislam.com/ dibawah kategori Ibadah.

Theme: Overlay by Kaira
Copyright : easyngaji.com
0 Shares
Share via
Copy link
Powered by Social Snap