Jangan lepas 3 waktu ini dalan bulan Ramadhan.

Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T atas nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga, sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian.
Moga kita dipertemukan dengan Ramadhan & ia menjadi Ramadhan yang terbaik dalam hidup kita. Lantaran itu, Ramadhan jangan dipandang remeh. Teliti & jaga 3 waktu ini.
—
Pertama: Waktu Niat
Bilakah waktu untuk niat puasa Ramadhan?
Niat ni sangat penting sebab niat merupakan salah satu daripada syarat sah puasa. Rugilah jika menahan lapar dan dahaga serta menjaga diri dari melakukan perkara yang membatalkan puasa sepanjang hari, tetapi ibadah puasa tidak diterima (tidak sah) disebabkan terlupa untuk niat.
Jadi, waktu niat puasa Ramadhan adalah bermula dari selepas tenggelam matahari (waktu maghrib) sehingga terbit fajar sadiq (sebelum masuk waktu subuh).
Ingat ya, tanpa niat ibadah puasa menjadi tidak sah sama seperti tidak berpuasa. Maka, puasa perlulah diganti semula.
—
Kedua: Waktu Bersahur
Sahur adalah perbuatan makan dan minum pada awal pagi sebelum waktu fajar dengan niat untuk berpuasa. Tak kira sama ada makan hanya sedikit (segelas air & sebiji kurma) atau makan dengan kuantiti yang banyak (sepinggan nasi bersama lauk). Kedua-duanya dikira bersahur.
Alhamdulillah, kita dah tahu apa itu sahur. Apakah pula hukum bersahur?
Hukum bersahur adalah sunat. Ya benar, tanpa bersahur puasa tetap sah. Tetapi, kita mahukan Ramadhan yang terbaik dalam hidup kita. Sudah tentu sebaik-baik dan sekecil-kecil amalan seperti sahur pun kita jangan abaikan.
Daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata, Nabi SAW telah bersabda:
تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السُّحُورِ بَرَكَةً
Maksudnya: “Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan.”
Riwayat al-Bukhari (1923), dan Muslim (1095)
Kelebihan bersahur:
- Mengamalkan sunnah Rasullullah SAW.
- Mendorong kita untuk berdoa, berzikir, beristighfar sepanjang waktu sahur.
- Mentoring kita untuk bangun sepertiga malam untuk berqiamullail.
- Sahur memberikan bekalan tenaga & nutrien kepada tubuh badan sepanjang seharian berpuasa.
- Terhindar daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang akibat daripada rasa lapar yang teramat sangat.
Bukan itu sahaja, sahur juga adalah satu ibadah bagi membezakan puasa seorang mukmin dengan puasa ahli kitab.
Hadith riwayat “Amr bin al-‘As RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ، أَكْلَةُ السَّحَرِ
Maksudnya: Perbezaan antara bagi puasa kita dan puasa ahli kitab adalah dengan makan sahur.
Riwayat Muslim (1096)
—
Ketiga: Waktu Berbuka
Alhamdulillah, tadi bersahur sekarang berbuka pula. Waktu berbuka inilah yang dinanti-nantikan terutamanya bagi kanak-kanak. Meriah meja makan dengan pelbagai jenis juadah. Tapi ingat, sediakanlah juadah sekadar keperluan sahaja dan tidak melampau sehingga berlaku pembaziran.
Bilakah masuknya waktu untuk berbuka?
Daripada Umar bin al-Khattab RA katanya, Rasulullah SAW bersabda : “Apabila malam telah menghadap ke sebelah timur dan siang pula telah berlalu daripada barat kemudian matahari telah terbenam bermulalah waktu orang yang berpuasa itu berbuka.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Waktu berbuka adalah apabila masuknya waktu solat fardhu Maghrib (matahari telah terbenam). Kita juga dianjurkan untuk segerakan berbuka setelah betul-betul yakin masuknya waktu maghrib.
Daripada Sahl bin Saad RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Orang yang menyegerakan berbuka puasa setelah masuk waktunya mendapat kebaikan yang berterusan”.
(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hikmah disegerakan berbuka:
• Supaya orang yang berpuasa dapat bersegera menunaikan ibadah lain. Contohnya, solat maghrib di awal waktu, dan membaca al-Qur’an.
—
Alhamdulillah, tersebut 3 waktu yang perlu kita jaga sepanjang Ramadhan. Jangan pula kita abaikan waktu yang lain yang utama dalam hidup kita iaitu jaga waktu solat. Khusunya solat fardhu.
Di bulan Ramadhan, ada golongan yang masanya lebih lapang kerana tak perlu masak sarapan, makan tengah hari, minum petang dan banyak lagi aktiviti-aktiviti yang yang dimansuhkan ketika bulan ini.
Namun, ada juga golongan yang semakin sibuk di bulan ini. Sibuk dengan jualan di bazar Ramadhan, sibuk membakar kuih/biskut raya, dan sebagainya. Jadi, kedua-duanya perlu memanfaatkan masa dengan sebaiknya. Susun jadual harian kita sepanjang bulan mulia ini. Moga Ramadhan ini menjadi Ramadhan yang lebih baik daripada Ramadhan yang sebelumnya.