Category: IBADAH

Syawal ” Adat vs Ibadat”

Syawal ” Adat vs Ibadat”

Syawal hadir selepas Ramadhan,
Sucikan jiwa dengan bermaafan,
Berkasih sayang buah kemaafan,
Istiqomah dalam kebaikan.

Umat islam yang keluar daripada bulan Ramadhan dengan mendapat keampunan daripada Allah SWT, mereka itulah insan yang benar-benar gembira meraikan bulan Syawal.

Iaitu bulan kembalinya seorang hamba yang bertaqwa kepada fitrah. Di bulan ini, umat islam merayai satu daripada dua hari raya iaitu Hari Raya Aidilfitri. Pada 1 syawal, umat islam diharamkan berpuasa sebagai tanda syukur dan gembira.

Sejurus sahaja selepas solat maghrib, kita akan mendengar gema takbir hari raya di kediaman umat Islam, masjid-masjid atau di mana sahaja. Bukan sahaja di negara kita Malaysia, tetapi di seluruh dunia.

Tahukah anda?
Takbir raya bukanlah suatu adat tetapi ia adalah ibadah zikir, takbir, tahmid dan tasbih memuji keagungan, kekuasaan dan membesarkan Allah SWT dalam diri seorang hamba. Firman Allah SWT:


”Dan agar kamu membesarkan Allah SWT atas petunjuk yang Ia berikan kepada kamu, dan agar kamu bersyukur atas nikmat-nikmat yang telah diberikan” (Surah Al-Baqarah: 185).

Adakah hukum melaungkan takbir raya adalah wajib?
Takbir pada hari raya adalah sunat. Ianya bermula dari terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan menandakan bermulanya satu Syawal sehinggalah imam mengangkat takbiratul ihram untuk menunaikan solat Aidilfitri.

Bolehkah jika melaungkan takbir raya pada selain dari hari raya?
Takbir raya hanya disyariatkan pada hari raya dan hari tasyriq sahaja akan tetapi tidak menjadi masalah apabila ia dilakukan secara bersendirian pada waktu-waktu yang lain.
Seperti yang telah dikongsikan di awal tadi, takbir adalah amalan zikir dan boleh dilakukan pada bila-bila masa. Selain itu, ia adalah ucapan yang disukai oleh Allah SWT. Sabda Nabi SAW:

أَحَبُّ الْكَلَامِ إِلَى اللهِ أَرْبَعٌ: سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ. لَا يَضُرُّكَ بِأَيِّهِنَّ بَدَأْتَ

Maksudnya: Empat ucapan yang sangat disukai oleh Allah SWT: Tasbih (Subhanallah), Tahmid (Alhamdulillah), Tahlil (Lailahaillallah) dah Takbir (Allahu Akbar). Tidak menjadi sebarang masalah untuk kamu mulakan yang mana satu.

Semenjak dunia dilanda wabak Covid-19, rata-rata umat manusia mempunyai kesedaran dan waspada terhadap penularan wabak tersebut. Manusia menjadi peka terhadap kebersihan & menjaga pergaulan sesama manusia. Ia suatu yang sangat baik dan secara tidak langsung umat islam menjaga pergaulan (ikhtilat). Akan tetapi, nilai ibadah adalah berdasarkan niat.

Daripada Amirul Mukminin Abi Hafs, Umar bin al-Khattab RA katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى الله وَرَسُوْلِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ اِمْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya”.

Hadith ini memberi dua pengajaran dalam kehidupan:
1) Niat yang tulus kerana Allah SWT bukan kerana kepentingan dunia.

Antara tujuan niat adalah untuk membezakan antara adat dengan ibadah.

Ia juga membezakan seorang yang berilmu dengan yang tidak berilmu. Jika seseorang muslim tu melakukan ibadah, maka akan diganjari Allah SWT dengan pahala.

2) Keperluan seorang muslim itu untuk sentiasa berhijrah atau membuat perubahan pada diri. Daripada yang kurang baik kepada yang baik dan daripada sedia baik kepada yang lebih baik. Itulah perjalanan seorang hamba di dunia ini dalam perjalanan menuju tuhannya.

Menjadi satu kerugian sekiranya seorang muslim melakukan suatu kebaikan namun ia lakukan kerana adat bukan kerana Allah SWT. Justeru itu, umat islam harus sentiasa menambah ilmu pengetahuan dan memperbaharui niat. Setiap tingkah laku demi mendamba redha dan kasih sayang Allah SWT.

Jaga kebersihan kerana takut virus
Jaga kebersihan kerana Allah

Tidak bersalaman atau bersentuhan dengan bukan mahram sebab jaga SOP
Jaga pergaulan dan ikhtilat kerana Allah

Tidak pergi ke tempat/majlis hiburan kerana takut di kompaun (bayar denda)
Tidak pergi ke tempat yang didalamnya maksiat kerana Allah

In Sha Allah, sama-sama kita biasakan yang betul dan betulkan yang biasa. Ingat, setiap perkara baik yang kita lakukan kerana Allah S.W.T adalah ibadah tetapi jika kerana trend atau ikut-ikut sahaja, ia mungkin hanya akan mendapat perhatian manusia sahaja.

Begitu juga dengan membaca Al-Quran, sejak dari kecil ibubapa menghantar anak-anak belajar Al-Quran. Kebiasaan itu kadang-kadang menyebabkan seseorang memandang perkara itu sebagai adat melayu. Sedangkan belajar Al-Quran adalah sesuatu yang penting kerana Al-Quran merupakan petunjuk bagi umat Islam dan penawar bagi hati.

Apabila terlalu terbiasa, ia mengundang sambil lewa dan tidak menitik beratkan ilmu Al-Quran. Proses belajar Al-Quran adalah sepanjang hayat, belajarlah, bacalah, fahamilah dan aplikasikan dalam kehidupan. Buat yang nak belajar Al-Quran secara bertalaqqi dengan ustaz atau ustazah, tekan SAYA NAK BELAJAR.

#easyngaji

#kehidupanberilmu

#santaitapisampai

Nak Dapat Malam Al-Qadr? Lakukan Amalan Ini!

Nak Dapat Malam Al-Qadr? Lakukan Amalan Ini!

Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T atas nikmat Iman, dan Islam. Dengan kedua-dua nikmat ini terselitnya beribu-ribu nikmat lain. Antara nikmat terbesar yang perlu kita umat Islam syukuri adalah nikmat dikurniakan mukjizat yang teragung iaitu Al-Quran sebagai panduan hidup. Bukan itu sahaja, umat Nabi Muhammad SAW bertambah lagi untungnya apabila dianugerahkan oleh Allah SWT satu malam yang merupakan raja bagi segala malam. Terletaknya pada satu bulan penghulu segala bulan. Iaitu Malam Al-Qadr yang tersembunyi dalam 1malam di bulan Ramadhan.

Firman Allah SWT:
(۲)إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ﴿۱﴾ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ 
 لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ
 
Maksudnya: “Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.”
(Surah al-Qadr: 1-3)

Dikenali sebagai raja segala malam kerana kelebihan yang dikurniakan Allah SWT pada malam tersebut. Bahkan para ulama berpendapat bahawa amal soleh yang dilakukan pada malam tersebut merupakan sebaik-baik baik amal kerana ianya lebih baik daripada seribu bulan bersamaan lebih daripada 83 tahun.
Bilakah Malam Al-Qadr itu? Ia menjadi rahsia Allah SWT dan sudah semestinya tersirat hikmat buat kita supaya kita bersungguh-sungguh mengabdikan diri kepada-Nya terutamanya di 10 malam terakhir.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Carilah Lailatulqadar pada sepuluh akhir bulan Ramadan dalam malam ganjil.”

Terdapat pelbagai amalan yang kita digalakkan untuk kita amalkan bagi menghidupkan malam. Jadi, pastikan kita tak terlepas daripada amalan-amalan ini dalam perjalanan kita mendamba raja bagi segala malam ini.


 
Pertama: Jaga solat di siang hari (Solat Fardhu)
Kita semua tahu Lailatul Qadr itu berlaku pada waktu malam yang istimewa. Namun, jangan pula kita lupa bahawa seorang muslim mempunya kewajiban yang lebih perlu diutamakan kerana ia merupakan tiang dan akar bagi agama. Mana mungkin pokok yang lemah akarnya, mampu menampung buah yang sangat lebat. Begitu juga kita tak mampu untuk mandapatkan malam Al-Qadr jika asas kepada agama (solat fardhu) tidak ditunaikan sebaik-baiknya. Bagi yang lelaki, tunaikanlah solat fardhu berjemaah di masjid. Manakala, bagi wanita pula dirikanlah solat di awal waktu.


Firman Allah SWT dalam hadis qudsi: “Tidaklah seorang hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang paling Aku cintai selain daripada kewajipan yang Aku fardukan kepadanya.” (Riwayat Bukhari)


Dengan istiqomah dalam amalan fardhu, maka mudahlah serta lapanglah jalan untuk kita menunaikan dengan amalan sunat. Ini kerana tidak ada satu amalan yang afdal melainkan setelah melaksanakan perkara fardhu (wajib) terlebih dahulu. Dalam kata mudahnya, amalan wajib dan sunat perlulah seiring.
Seseorang yang sentiasa melakukan ibadah sunat akan dikasihi oleh Allah SWT.

Dalam hadis qudsi, “Sesungguhnya Allah SWT berfirman: Seseorang hamba sentiasa bertaqqarub dirinya kepada-Ku, dengan amalan sunat sehingga Aku mencintainya.” (Riwayat Bukhari)
 


Kedua: Puasa Ramadhan & menjaganya daripada perkara yang boleh mengurangi pahala ibadah tersebut.

Puasa yang bersungguh-sungguh yang mendambakan takwa bukan hanya meninggalkan makan, minum, dan perkara yang membatalkan puasa. Akan tetapi ia meliputi puasa bagi anggota tubuh manusia. Iaitu pelihara pancaindera dari segala bentuk maksiat dan kemungkaran. Ia adalah mujahadah (perjuangan) melawan hawa nafsu yang gemar akan kelazatan maksiat.
 
Dengan kejayaan mendidik nafsu untuk tunduk dan taat, mudah-mudahan ia akan menjadi titik mula atau sinar untuk menggapai malam yang mulia iaitu malam Al-Qadr.


Nabi Muhammad ﷺ bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ 
Maksudnya: Siapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah ﷻ, maka akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu.
Riwayat Al-Bukhari (38)
  


Ketiga: Dirikan solat malam bersama Imam hingga selesai.
Alhamdulillah, apabila ibadah fardhu telah ditunaikan lalu sebaik-baik amalan sesudah solat 5 waktu adalah solat malam.

Daripada Abu Hurairah RA berkata, bahawa Nabi SAW pernah ditanya apakah solat yang terbaik selepas daripada solat fardhu. Baginda SAW menjawab:

أَفْضَلُ الصَّلَاةِ، بَعْدَ الصَّلَاةِ الْمَكْتُوبَةِ، الصَّلَاةُ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ

Maksudnya: “Solat yang paling afdhal selepas solat fardhu adalah solat di tengah malam.” [Riwayat Muslim (1163)]

MasyaAllah, mendirikan solat malam adalah sebaik-baik solat sunat. Mungkin menjadi persoalan, bolehkah ia dilaksanakan sendirian?

Sudah semestinya solat sunat Tarawih ini tetap sah walaupun didirikan bersendirian (nafsi). Namun begitu, dalam sebuah hadis menceritakan kelebihan solat malam (tarawih) bersama Imam. Iaitu seumpama ia solat malam sepanjang malam (qiamullail).

Daripada Abu Zar al-Ghifari RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الإمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ، كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang berdiri (bersolat tarawih) bersama imam sehingga dia (imam) beredar (selesai), dituliskan baginya ganjaran orang yang Qiyam semalaman (seumpama bersolat sepanjang malam)”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 734]

 
SubhanaAllah, rugilah jika kita melepaskan kesempatan ini. Moga kita semua dapat istiqomah solat Tarawih & Witir berjemaah bersama Imam. Jika Imam solat 23 rokaat, maka 23 rokaat jugalah kita dirikan manakala jika Imam dirikan 11 rokaat, maka 11 rokkaat jugalah kita dirikan.

Keempat: Baca Al-Quran
Kalamullah yang mulia telah diturunkan pada malam Al-Qadr sebagaimana dalil dari firman Allah SWT dalam Surah Al-Qadr:


(۲)إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ﴿۱﴾ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ 
 لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ
 
Maksudnya: “Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.”

Oleh itu, mana mungkin kita meninggalkan amalan membaca kitab Al-Quran yang mulia ini. Tak sempat? Paling tidak pun bacalah setakat yang mampu, surah Al- Fatihah, atau berwirid.


Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَن قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا ، لَا أَقُوْلُ آلم حَرْفٌ ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيْمٌ حَرْفٌ

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan “الم” satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf”. [Riwayat al-Tirmizi (2835)]

Kelima: Iktikaf di dalam masjid
Iktikaf ibarat anak kunci kepada pintu-pintu ibadah. Kerana, dengan beriktikaf sebenarnya ia mendorong atau memudahkan kita untuk melakukan amal ibadah lain. Antaranya:

  1. Niat beriktikaf di masjid merupakan ibadah
  2. Kita terdorong untuk bersedekah pada tabung masjid
  3. Terpelihara daripada perkerjaan/amal yang sia-sia. Hati lebih dekat kepada Allah SWT
  4. Kebiasaan orang yang beriktikaf selalu membaca Al-Quran, berzikir, istighfar dan solat
  5. Malah, jika tidur dalam keadaan iktikaf juga dikira ibadah

Diriwayatkan daripada Abdullah Ibn Umar R.A beliau berkata:

 كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ

Maksudnya: Adalah Rasulullah S.A.W itu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.

Riwayat al-Bukhari (2025)

Yang penting, manfaatkan setiap siang dan malam dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Kerana setiap perkara baik yang kita lakukan kerana Allah S.W.T adalah ibadah. Ingat, tak boleh buat semua, jangan pula kita tinggalkan kesemuanya.

Jangan lepas 3 waktu ini dalam bulan Ramadhan.

Jangan lepas 3 waktu ini dalam bulan Ramadhan.

Jangan lepas 3 waktu ini dalan bulan Ramadhan.

Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T atas nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga, sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian.

Moga kita dipertemukan dengan Ramadhan & ia menjadi Ramadhan yang terbaik dalam hidup kita. Lantaran itu, Ramadhan jangan dipandang remeh. Teliti & jaga 3 waktu ini.

Pertama: Waktu Niat
Bilakah waktu untuk niat puasa Ramadhan?
Niat ni sangat penting sebab niat merupakan salah satu daripada syarat sah puasa. Rugilah jika menahan lapar dan dahaga serta menjaga diri dari melakukan perkara yang membatalkan puasa sepanjang hari, tetapi ibadah puasa tidak diterima (tidak sah) disebabkan terlupa untuk niat.

Jadi, waktu niat puasa Ramadhan adalah bermula dari selepas tenggelam matahari (waktu maghrib) sehingga terbit fajar sadiq (sebelum masuk waktu subuh).

Ingat ya, tanpa niat ibadah puasa menjadi tidak sah sama seperti tidak berpuasa. Maka, puasa perlulah diganti semula.

Kedua: Waktu Bersahur
Sahur adalah perbuatan makan dan minum pada awal pagi sebelum waktu fajar dengan niat untuk berpuasa. Tak kira sama ada makan hanya sedikit (segelas air & sebiji kurma) atau makan dengan kuantiti yang banyak (sepinggan nasi bersama lauk). Kedua-duanya dikira bersahur.

Alhamdulillah, kita dah tahu apa itu sahur. Apakah pula hukum bersahur?
Hukum bersahur adalah sunat. Ya benar, tanpa bersahur puasa tetap sah. Tetapi, kita mahukan Ramadhan yang terbaik dalam hidup kita. Sudah tentu sebaik-baik dan sekecil-kecil amalan seperti sahur pun kita jangan abaikan.

Daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata, Nabi SAW telah bersabda:

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السُّحُورِ بَرَكَةً

Maksudnya: “Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan.”

Riwayat al-Bukhari (1923), dan Muslim (1095)

Kelebihan bersahur:

  1. Mengamalkan sunnah Rasullullah SAW.
  2. Mendorong kita untuk berdoa, berzikir, beristighfar sepanjang waktu sahur.
  3. Mentoring kita untuk bangun sepertiga malam untuk berqiamullail.
  4. Sahur memberikan bekalan tenaga & nutrien kepada tubuh badan sepanjang seharian berpuasa.
  5. Terhindar daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang akibat daripada rasa lapar yang teramat sangat.

Bukan itu sahaja, sahur juga adalah satu ibadah bagi membezakan puasa seorang mukmin dengan puasa ahli kitab.

Hadith riwayat “Amr bin al-‘As RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ، أَكْلَةُ السَّحَرِ

Maksudnya: Perbezaan antara bagi puasa kita dan puasa ahli kitab adalah dengan makan sahur.

Riwayat Muslim (1096)

Ketiga: Waktu Berbuka

Alhamdulillah, tadi bersahur sekarang berbuka pula. Waktu berbuka inilah yang dinanti-nantikan terutamanya bagi kanak-kanak. Meriah meja makan dengan pelbagai jenis juadah. Tapi ingat, sediakanlah juadah sekadar keperluan sahaja dan tidak melampau sehingga berlaku pembaziran.

Bilakah masuknya waktu untuk berbuka?

Daripada Umar bin al-Khattab RA katanya, Rasulullah SAW bersabda : “Apabila malam telah menghadap ke sebelah timur dan siang pula telah berlalu daripada barat kemudian matahari telah terbenam bermulalah waktu orang yang berpuasa itu berbuka.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Waktu berbuka adalah apabila masuknya waktu solat fardhu Maghrib (matahari telah terbenam). Kita juga dianjurkan untuk segerakan berbuka setelah betul-betul yakin masuknya waktu maghrib.

Daripada Sahl bin Saad RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Orang yang menyegerakan berbuka puasa setelah masuk waktunya mendapat kebaikan yang berterusan”.

(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hikmah disegerakan berbuka:
• Supaya orang yang berpuasa dapat bersegera menunaikan ibadah lain. Contohnya, solat maghrib di awal waktu, dan membaca al-Qur’an.

Alhamdulillah, tersebut 3 waktu yang perlu kita jaga sepanjang Ramadhan. Jangan pula kita abaikan waktu yang lain yang utama dalam hidup kita iaitu jaga waktu solat. Khusunya solat fardhu.

Di bulan Ramadhan, ada golongan yang masanya lebih lapang kerana tak perlu masak sarapan, makan tengah hari, minum petang dan banyak lagi aktiviti-aktiviti yang yang dimansuhkan ketika bulan ini.

Namun, ada juga golongan yang semakin sibuk di bulan ini. Sibuk dengan jualan di bazar Ramadhan, sibuk membakar kuih/biskut raya, dan sebagainya. Jadi, kedua-duanya perlu memanfaatkan masa dengan sebaiknya. Susun jadual harian kita sepanjang bulan mulia ini. Moga Ramadhan ini menjadi Ramadhan yang lebih baik daripada Ramadhan yang sebelumnya.

#easyngaji
#santaitapisampai
#ramadhanperjalannamenujurahmat
Boleh ke lalu dihadapan orang yang sedang solat?

Boleh ke lalu dihadapan orang yang sedang solat?

SUNNAH MELETAKKAN SUTRAH DIHADAPAN TEMPAT SOLAT

Sutrah adalah suatu objek setinggi kira-kira satu pelana haiwan tunggangan yang diletakkan di hadapan orang yang sedang solat sebagai penghadang atau pembatas. Jarak meletakkanya pula adalah kira-kira 3 hasta (3 kaki) di hadapan dari tempat berdiri (di tempat solat). Atau sekurang-kurangnya satu kaki di hadapan dari tepat sujud. (Rujukan Sahih Muslim)

Selain merupakan suatu sunnah, ini turut bertujuan sebagai pembatas atau penghadang agar kesempurnaan solat tidak terjejas apabila ada seseorang yang lalu di hadapan ketika seseorang yang lain sedang solat. Sutrah ini disunnahkan bagi orang yang solat sebagai imam atau yang sedang solat bersendirian.

Sunnah ini berdalilkan dengan hadis yang banyak antaranya sebagimana sabda Rasulullah s.a.w :

“Apabila salah seorang di antara kamu telah meletakkan sesuatu objek yang setinggi satu pelana haiwan tunggangan dihadapannya (Sebagai sutrah atau penghadang). Maka solatlah dan jangan pedulikan siapa pun yang melintas di sebalik objek tersebut.”
(Sahih Muslim)

Tinggi objek tersebut adalah kira-kira satu kaki lebih atau 40 hingga 60 cm. telah berkata para ulama’, di antara hikmah pada sutrah ini adalah dapat menjaga pandangan dari segala sesuatu yang melintas sehingga mengganggu kesempurnaan solat.

Namun begitu, ulama’ berbeza berpendapat tentang hukum mengenakan sutrah (penghadang) ketika solat samada wajib ataupun sunnah. Di antaranya berpendapat ianya adalah wajib. Dalil-dalil mereka lebih kuat dan jelas.

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah berkata :
“Disunnahkan bagi orang yang solat supaya meletakkan sutrah dihadapannya sama ada tembok, tiang atau yang selainnya dengan jarak tidak lebih dari tiga hasta”
(Raudhat Uth-Thalibin)

SUMBER :
http://www.ilmusunnah.com/Sunnah-ketika-solat-
https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/ 

Kebanyakan azab kubur berpunca daripada air kencing

Kebanyakan azab kubur berpunca daripada air kencing

Islam adalah agama yang sempurna. Semua perkara yang dibutuhkan manusia di dunia ini dan di akhirat nanti telah dijelaskan. Termasuk masalah kesucian dan kebersihan. Banyak ayat  Al-Qur’an dan hadits Nabi s.a.w yang memerintahkan atau menganjurkan kebersihan.

“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan Allah menyukai orang-orang yang menyucikan diri.”
(Al-Baqarah 2:222)

“Kesucian itu separuh daripada iman”
(Sahih Muslim)

Daripada ayat-ayat ini, menjelaskan bahawa Allah menyukai orang-orang yang sentiasa berpakaian baik, bersih, menyucikan diri dari segi fizikal, dosa, keburukan jiwa mahupun kotoran zahir yang lainnya.

Maka adalah sangat penting untuk menyucikan diri terutama apabila sebelum beribadah. Semisalnya, menyucikan diri dari perkara najis termasuklah air kencing.

Dari Abu Hurairah r.a, Rasullah s.a.w bersabda,

“Kebanyakan azab kubur itu pada kencing”
(Musnad Ahmad)

Nabi Muhammad s.a.w pernah melalui berhampiran salah satu tembok dari tembok di Madinah atau Makkah, lalu baginda terdengar suara dua orang yang diazab di dalam kubur mereka. Maka, Nabi Muhammad s.a.w pun berkata,

“Mereka berdua sedang diazab. Tidaklah mereka diazab kerana perkara yang besar (rumit). Iya. Sesungguhnya salah seorang daripada mereka tidak menjaga diri daripada kesucian air kencing manakala seorang lagi sering melakukan namimah (mengadu domba) ke sana ke mari.”
(Sahih Al-Bukhari)

Air kencing manusia termasuk najis, maka badan, pakaian, atau tempat yang terkena air kencing harus dibersihkan.  Jika tidak dibersihkan, maka itu bisa menjadi penyebab siksa kubur.

Al-Imam Al-Bukhari juga menerangkan bahawa termasuk dalam dosa-dosa besar barangsiapa yang tidak menjaga dirinya dari air kencing.

Maka termasuk perbuatan kurang adab ketika sebagian orang, baik orang tua atau anak-anak, laki-laki atau perempuan, buang air di pinggir jalan. Bau kencing tersebut juga akan mengganggu orang lain, sehingga menyebabkan cacian kepada pelakunya.

Dari Mu’adz bin Jabal Radhiyallahu anhu, dia berkata: Rasulullah s.a.w  bersabda, 

“Jagalah dirimu dari tiga tempat yang membawa laknat: buang hajat di tempat-tempat berkumpulnya air, di jalan raya, dan di tempat bernaung”.
(HR. Abu Dawud)

MENGAPA AIR KENCING MENJADI PENYEBAB KITA DIAZAB?

Kerana ia najis. Dan najis adalah penyebab solat tidak sah, penyebab diri kita tidak suci untuk beribadah. Tidak melindungi diri dari terkena percikan atau saki baki air kencing itu sendiri adalah di antara sebab yang akan mengakibatkan seseorang itu terkena azab kubur.

BAGAIMANA UNTUK MENGELAK SEKSA KUBUR DISEBABKAN AIR KENCING?

  1. Mengurut kemaluan selepas kencing (Pastikan tiada saki baki di hujung saluran air kencing)
  2. Berdehem selepas kencing.
  3. Kencing dalam keadaan duduk (Ulama’ menghukumkan kencing berdiri sebagai makruh)
  4. Istinja’ (bersihkan) kemaluan terlebih dahulu sebelum memakai pakaian (termasuk pakaian dalam.
  5. Tidak kencing di dalam takungan air yang tenang (yang tidak mengalir)

SUMBER :
http://www.fatehteam.com/Azab-kubur-2394-2/
http://www.ilmusunnah.com/kebanyakan-azab-kubur-

Theme: Overlay by Kaira
Copyright : easyngaji.com