Category: FIQH MUSLIMAH

Boleh ke memakai inai yang bercorak?

Boleh ke memakai inai yang bercorak?

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1.Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.

Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan.

Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.

2.Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.

Kesimpulannya, inai adalah perhiasan wanita. Hukum memakainya adalah harus, sunat dan mkahruh dalam keadaan tertentu.

Walaubagaimanapun, bersederhanalah dalam berhias jangan sehingga berlebih-lebihan. Allah SWT menciptakan wanita dengan fitrah ingin kelihatan cantik, sekali gus menjadikan bersolek atau berhias tidak dilarang di dalam Islam.

SUMBER :
https://www.fatimahsyarha.com/
http://piswi.islam.gov.my/

Boleh ke mengulang hafazan dalam keadaan haid?

Boleh ke mengulang hafazan dalam keadaan haid?

“Dan apabila Al-Qur’an itu dibacakan, maka dengarlah akan ia serta diamlah supaya kamu beroleh rahmat.”
(Al-A’raaf 7: 204)


Dalam permasalahan ini, terdapat dua pandangan. Haram dan harus.

HARAM

Ini merupakan pendapat jumhur fuqaha’. Mereka melarang wanita membaca Al-Qur’an ketika dalam keadaan haid dan sedang berjunub berdasarkan kepada hadis daripada Ibn Umar RA.

“Tidak  dibolehkan wanita  dalam haid dan yang berjunub membaca walau sedikit daripada Al-Qur’an.”
Riwayat Al-Tirmizi (131)

Hadis ini dhaif di sisi sebahagian ahli ilmu kerana sebahagian riwayatnya Ismail bin Ayyash dari golongan Hijjaz dan riwayatnya daripada mereka adalah dhaif.

HARUS

Hukum harus pula adalah mengikut pendapat ulama’ Malikiyyah mengikut riwayat yang sahih iaitu dibolehkan untuk memegang Al-Qur’an bagi wanita yang haid dan dibolehkan juga untuk membacanya dengan tujuan mengajar dan belajar.

Kelonggaran ini hanya diberikan kepada wanita yang dalam keadaan haid sahaja dan bukannya yang sedang berjunub. Ini kerana, hari-hari kedatangan haid itu berlangsung dalam tempoh yang lama. Maka, jika mereka dilarang membaca Al-Qur’an, dibimbangi hafazan Al-Qur’an mereka akan terluput. Sedangkan, berzikir kepada Allah SWT adalah dibolehkan kepada wanita-wanita yang sedang dalam haid.

Hal ini juga adalah saling berkait dengan pendapat tokoh ulama’ silam seperti Imam Al-Bukhari, Imam Ibn Jarir dan Imam As-Syafiie dalam qaul qadim yang telah dinukilkan oleh Abu Thaur.

Kesimpulannya, membaca Al-Qur’an dan menghafaznya ketika dalam haid adalah DIBOLEHKAN berdasarkan sebab-sebab yang telah diterangkan.

SUMBER :
1. https://muftiwp.gov.my/
2. Berita Harian Metro bahagian Addin


Theme: Overlay by Kaira
Copyright : easyngaji.com