Category: AKHLAK

Syawal ” Adat vs Ibadat”

Syawal ” Adat vs Ibadat”

Syawal hadir selepas Ramadhan,
Sucikan jiwa dengan bermaafan,
Berkasih sayang buah kemaafan,
Istiqomah dalam kebaikan.

Umat islam yang keluar daripada bulan Ramadhan dengan mendapat keampunan daripada Allah SWT, mereka itulah insan yang benar-benar gembira meraikan bulan Syawal.

Iaitu bulan kembalinya seorang hamba yang bertaqwa kepada fitrah. Di bulan ini, umat islam merayai satu daripada dua hari raya iaitu Hari Raya Aidilfitri. Pada 1 syawal, umat islam diharamkan berpuasa sebagai tanda syukur dan gembira.

Sejurus sahaja selepas solat maghrib, kita akan mendengar gema takbir hari raya di kediaman umat Islam, masjid-masjid atau di mana sahaja. Bukan sahaja di negara kita Malaysia, tetapi di seluruh dunia.

Tahukah anda?
Takbir raya bukanlah suatu adat tetapi ia adalah ibadah zikir, takbir, tahmid dan tasbih memuji keagungan, kekuasaan dan membesarkan Allah SWT dalam diri seorang hamba. Firman Allah SWT:


”Dan agar kamu membesarkan Allah SWT atas petunjuk yang Ia berikan kepada kamu, dan agar kamu bersyukur atas nikmat-nikmat yang telah diberikan” (Surah Al-Baqarah: 185).

Adakah hukum melaungkan takbir raya adalah wajib?
Takbir pada hari raya adalah sunat. Ianya bermula dari terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan menandakan bermulanya satu Syawal sehinggalah imam mengangkat takbiratul ihram untuk menunaikan solat Aidilfitri.

Bolehkah jika melaungkan takbir raya pada selain dari hari raya?
Takbir raya hanya disyariatkan pada hari raya dan hari tasyriq sahaja akan tetapi tidak menjadi masalah apabila ia dilakukan secara bersendirian pada waktu-waktu yang lain.
Seperti yang telah dikongsikan di awal tadi, takbir adalah amalan zikir dan boleh dilakukan pada bila-bila masa. Selain itu, ia adalah ucapan yang disukai oleh Allah SWT. Sabda Nabi SAW:

أَحَبُّ الْكَلَامِ إِلَى اللهِ أَرْبَعٌ: سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ. لَا يَضُرُّكَ بِأَيِّهِنَّ بَدَأْتَ

Maksudnya: Empat ucapan yang sangat disukai oleh Allah SWT: Tasbih (Subhanallah), Tahmid (Alhamdulillah), Tahlil (Lailahaillallah) dah Takbir (Allahu Akbar). Tidak menjadi sebarang masalah untuk kamu mulakan yang mana satu.

Semenjak dunia dilanda wabak Covid-19, rata-rata umat manusia mempunyai kesedaran dan waspada terhadap penularan wabak tersebut. Manusia menjadi peka terhadap kebersihan & menjaga pergaulan sesama manusia. Ia suatu yang sangat baik dan secara tidak langsung umat islam menjaga pergaulan (ikhtilat). Akan tetapi, nilai ibadah adalah berdasarkan niat.

Daripada Amirul Mukminin Abi Hafs, Umar bin al-Khattab RA katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى الله وَرَسُوْلِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ اِمْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya”.

Hadith ini memberi dua pengajaran dalam kehidupan:
1) Niat yang tulus kerana Allah SWT bukan kerana kepentingan dunia.

Antara tujuan niat adalah untuk membezakan antara adat dengan ibadah.

Ia juga membezakan seorang yang berilmu dengan yang tidak berilmu. Jika seseorang muslim tu melakukan ibadah, maka akan diganjari Allah SWT dengan pahala.

2) Keperluan seorang muslim itu untuk sentiasa berhijrah atau membuat perubahan pada diri. Daripada yang kurang baik kepada yang baik dan daripada sedia baik kepada yang lebih baik. Itulah perjalanan seorang hamba di dunia ini dalam perjalanan menuju tuhannya.

Menjadi satu kerugian sekiranya seorang muslim melakukan suatu kebaikan namun ia lakukan kerana adat bukan kerana Allah SWT. Justeru itu, umat islam harus sentiasa menambah ilmu pengetahuan dan memperbaharui niat. Setiap tingkah laku demi mendamba redha dan kasih sayang Allah SWT.

Jaga kebersihan kerana takut virus
Jaga kebersihan kerana Allah

Tidak bersalaman atau bersentuhan dengan bukan mahram sebab jaga SOP
Jaga pergaulan dan ikhtilat kerana Allah

Tidak pergi ke tempat/majlis hiburan kerana takut di kompaun (bayar denda)
Tidak pergi ke tempat yang didalamnya maksiat kerana Allah

In Sha Allah, sama-sama kita biasakan yang betul dan betulkan yang biasa. Ingat, setiap perkara baik yang kita lakukan kerana Allah S.W.T adalah ibadah tetapi jika kerana trend atau ikut-ikut sahaja, ia mungkin hanya akan mendapat perhatian manusia sahaja.

Begitu juga dengan membaca Al-Quran, sejak dari kecil ibubapa menghantar anak-anak belajar Al-Quran. Kebiasaan itu kadang-kadang menyebabkan seseorang memandang perkara itu sebagai adat melayu. Sedangkan belajar Al-Quran adalah sesuatu yang penting kerana Al-Quran merupakan petunjuk bagi umat Islam dan penawar bagi hati.

Apabila terlalu terbiasa, ia mengundang sambil lewa dan tidak menitik beratkan ilmu Al-Quran. Proses belajar Al-Quran adalah sepanjang hayat, belajarlah, bacalah, fahamilah dan aplikasikan dalam kehidupan. Buat yang nak belajar Al-Quran secara bertalaqqi dengan ustaz atau ustazah, tekan SAYA NAK BELAJAR.

#easyngaji

#kehidupanberilmu

#santaitapisampai

Boleh ke lalu dihadapan orang yang sedang solat?

Boleh ke lalu dihadapan orang yang sedang solat?

SUNNAH MELETAKKAN SUTRAH DIHADAPAN TEMPAT SOLAT

Sutrah adalah suatu objek setinggi kira-kira satu pelana haiwan tunggangan yang diletakkan di hadapan orang yang sedang solat sebagai penghadang atau pembatas. Jarak meletakkanya pula adalah kira-kira 3 hasta (3 kaki) di hadapan dari tempat berdiri (di tempat solat). Atau sekurang-kurangnya satu kaki di hadapan dari tepat sujud. (Rujukan Sahih Muslim)

Selain merupakan suatu sunnah, ini turut bertujuan sebagai pembatas atau penghadang agar kesempurnaan solat tidak terjejas apabila ada seseorang yang lalu di hadapan ketika seseorang yang lain sedang solat. Sutrah ini disunnahkan bagi orang yang solat sebagai imam atau yang sedang solat bersendirian.

Sunnah ini berdalilkan dengan hadis yang banyak antaranya sebagimana sabda Rasulullah s.a.w :

“Apabila salah seorang di antara kamu telah meletakkan sesuatu objek yang setinggi satu pelana haiwan tunggangan dihadapannya (Sebagai sutrah atau penghadang). Maka solatlah dan jangan pedulikan siapa pun yang melintas di sebalik objek tersebut.”
(Sahih Muslim)

Tinggi objek tersebut adalah kira-kira satu kaki lebih atau 40 hingga 60 cm. telah berkata para ulama’, di antara hikmah pada sutrah ini adalah dapat menjaga pandangan dari segala sesuatu yang melintas sehingga mengganggu kesempurnaan solat.

Namun begitu, ulama’ berbeza berpendapat tentang hukum mengenakan sutrah (penghadang) ketika solat samada wajib ataupun sunnah. Di antaranya berpendapat ianya adalah wajib. Dalil-dalil mereka lebih kuat dan jelas.

Al-Imam An-Nawawi rahimahullah berkata :
“Disunnahkan bagi orang yang solat supaya meletakkan sutrah dihadapannya sama ada tembok, tiang atau yang selainnya dengan jarak tidak lebih dari tiga hasta”
(Raudhat Uth-Thalibin)

SUMBER :
http://www.ilmusunnah.com/Sunnah-ketika-solat-
https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/ 

Kebanyakan azab kubur berpunca daripada air kencing

Kebanyakan azab kubur berpunca daripada air kencing

Islam adalah agama yang sempurna. Semua perkara yang dibutuhkan manusia di dunia ini dan di akhirat nanti telah dijelaskan. Termasuk masalah kesucian dan kebersihan. Banyak ayat  Al-Qur’an dan hadits Nabi s.a.w yang memerintahkan atau menganjurkan kebersihan.

“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan Allah menyukai orang-orang yang menyucikan diri.”
(Al-Baqarah 2:222)

“Kesucian itu separuh daripada iman”
(Sahih Muslim)

Daripada ayat-ayat ini, menjelaskan bahawa Allah menyukai orang-orang yang sentiasa berpakaian baik, bersih, menyucikan diri dari segi fizikal, dosa, keburukan jiwa mahupun kotoran zahir yang lainnya.

Maka adalah sangat penting untuk menyucikan diri terutama apabila sebelum beribadah. Semisalnya, menyucikan diri dari perkara najis termasuklah air kencing.

Dari Abu Hurairah r.a, Rasullah s.a.w bersabda,

“Kebanyakan azab kubur itu pada kencing”
(Musnad Ahmad)

Nabi Muhammad s.a.w pernah melalui berhampiran salah satu tembok dari tembok di Madinah atau Makkah, lalu baginda terdengar suara dua orang yang diazab di dalam kubur mereka. Maka, Nabi Muhammad s.a.w pun berkata,

“Mereka berdua sedang diazab. Tidaklah mereka diazab kerana perkara yang besar (rumit). Iya. Sesungguhnya salah seorang daripada mereka tidak menjaga diri daripada kesucian air kencing manakala seorang lagi sering melakukan namimah (mengadu domba) ke sana ke mari.”
(Sahih Al-Bukhari)

Air kencing manusia termasuk najis, maka badan, pakaian, atau tempat yang terkena air kencing harus dibersihkan.  Jika tidak dibersihkan, maka itu bisa menjadi penyebab siksa kubur.

Al-Imam Al-Bukhari juga menerangkan bahawa termasuk dalam dosa-dosa besar barangsiapa yang tidak menjaga dirinya dari air kencing.

Maka termasuk perbuatan kurang adab ketika sebagian orang, baik orang tua atau anak-anak, laki-laki atau perempuan, buang air di pinggir jalan. Bau kencing tersebut juga akan mengganggu orang lain, sehingga menyebabkan cacian kepada pelakunya.

Dari Mu’adz bin Jabal Radhiyallahu anhu, dia berkata: Rasulullah s.a.w  bersabda, 

“Jagalah dirimu dari tiga tempat yang membawa laknat: buang hajat di tempat-tempat berkumpulnya air, di jalan raya, dan di tempat bernaung”.
(HR. Abu Dawud)

MENGAPA AIR KENCING MENJADI PENYEBAB KITA DIAZAB?

Kerana ia najis. Dan najis adalah penyebab solat tidak sah, penyebab diri kita tidak suci untuk beribadah. Tidak melindungi diri dari terkena percikan atau saki baki air kencing itu sendiri adalah di antara sebab yang akan mengakibatkan seseorang itu terkena azab kubur.

BAGAIMANA UNTUK MENGELAK SEKSA KUBUR DISEBABKAN AIR KENCING?

  1. Mengurut kemaluan selepas kencing (Pastikan tiada saki baki di hujung saluran air kencing)
  2. Berdehem selepas kencing.
  3. Kencing dalam keadaan duduk (Ulama’ menghukumkan kencing berdiri sebagai makruh)
  4. Istinja’ (bersihkan) kemaluan terlebih dahulu sebelum memakai pakaian (termasuk pakaian dalam.
  5. Tidak kencing di dalam takungan air yang tenang (yang tidak mengalir)

SUMBER :
http://www.fatehteam.com/Azab-kubur-2394-2/
http://www.ilmusunnah.com/kebanyakan-azab-kubur-

Theme: Overlay by Kaira
Copyright : easyngaji.com